Sunday, July 19, 2015

Tren terkini: Media sosial atau interaksi bersemuka?

Dalam zaman yang mengagung-agungkan teknologi ini, bukanlah perkara yang luar biasa apabila media sosial sering dijadikan sebagai pengganti untuk membina dan mewujudkan hubungan dalam dunia sebenar. Kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Pew di Amerika membuktikan bahawa 54% daripada responden yang ditinjau menghantar teks mesej kepada rakan-rakan sekurang-kurangnya sekali sehari, manakala hanya 33% daripada mereka yang bercakap secara bersemuka dengan rakan-rakan secara konsisten. 

Mengapakah fenomena ini berlaku? Adakah interaksi bersemuka dianggap tidak penting lagi sejak wujudnya sosial media? Adakah kita sanggup mengorbankan pengalaman dunia sebenar untuk “menjalankan hubungan” dengan individu lain dalam dunia sosial media secara maya? 

Pemikiran yang menganggap bahawa perbualan melalui sosial media adalah lebih penting atau lebih berkesan dari interaksi bersemuka amatlah tidak sihat. Pada hakikatnya, antara senyuman yang ikhlas secara bersemuka dengan pemaparan emotikon atas talian secara maya, kita tentulah tersentuh dengan senyuman yang ikhlas dan benar. Hal ini kerana elemen-elemen seperti ekspresi muka, interaksi mata, dan intonasi suara tidak wujud melalui emotikan atas talian. Mungkin kecanggihan teknologi seperti panggilan video atau aplikasi Skype mampu mengatasi masalah ini, tetapi ketelitian ekspresi muka tidak dapat dirasai sepenuhnya. 

Penerimaan kad e-mel juga tidak setanding dengan penerimaan surat tulisan tangan. Walaupun kad e-mel mungkin lebih cantik, berwarna-warni dan menarik, keikhlasan surat tulisan tangan terserlah apabila penulis surat memilih jenis dan warna sampul surat serta kertas yang digunakan, dan menulis surat dengan tulisan sendiri. Mungkin warna surat yang dipilih atau tulisan tangan tidak semenarik dengan kad e-mel janaan komputer, akan tetapi kita akan lebih menghargai dan merasai keikhlasan penulis surat. Hal ini tidak bermakna pengirim kad e-mel tidak ikhlas, tetapi taipan perkataan pada komputer sememangnya tidak setanding dengan surat tulisan tangan. Salam yang ingin kita hantar juga tidak mampu menyampaikan ekspresi wajah kita dan memberitahu betapa gembira kita untuk menghantar salam kepada orang yang kita sayangi. 

Kita mungkin pernah melihat seseorang yang kelihatan riang dan ceria semasa berdepan dengan kita, tetapi perasaan atau perkataan-perkataan yang diluahkan oleh orang yang sama melalui media sosial adalah bersifat negatif. Hal sebegini kemungkinan besar berlaku disebabkan media sosial berpotensi untuk mengubah watak sosial kita. Individu cenderung untuk mempunyai watak sosial yang berlainan semasa berdepan dengan orang dan atas talian. Sekiranya fenomena ini tertanam pada generasi kita sendiri, tentulah fenomena yang lebih serius wujud dalam generasi akan datang. 

Selain itu, sebagai siswa-siswi, bukanlah perkara yang luar biasa untuk kita mengadakan perjumpaan kumpulan atas talian semasa membuat tugasan. Masalahnya adalah tidak semestinya setiap ahli yang berada atas talian akan memberikan perhatian sepenuhnya. Mereka mungkin berada atas talian, tetapi pada masa yang sama mereka sedang menonton drama pada laman web yang lain. Hal ini boleh mengurangkan keberkesanan perjumpaan tersebut. Lebih-lebih lagi, terdapat individu yang malas untuk menaip atau menjelaskan ideanya melalui taipan atas papan kekunci. Oleh itu, untuk mengadakan perjumpaan secara berkesan dan mengeratkan hubungan antara ahli kumpulan, perjumpaan bersemuka adalah paling baik. 

Akhir kata, apa yang ingin disarankan adalah cubalah mengenepikan alat-alat teknologi seperti komputer riba atau telefon pintar sebentar, dan meluangkan masa untuk berinteraksi dengan orang lain secara bersemuka. Perbuatan yang kecil seperti mengenepikan telefon bimbit semasa makan dengan rakan-rakan sebenarnya menunjukkan bahawa kita menghormati dan menghargai masa kita bersama mereka. Ingatlah bahawa jarak yang jauh antara manusia adalah menggunakan alat-alat teknologi untuk mengakses kepada sosial media apabila kita berpeluang untuk berbual-bual antara satu sama lain secara bersemuka.